Rabu, Disember 02, 2009

Legal Aid duty

Setiap hari Isnin aku akan ke Kompleks Mahkamah Jalan Duta selaras dengan tugas aku untuk membantu Pusat Bantuan Guaman membantu orang ramai. Sebagai seorang Pelatih Didalam Kamar - chambering student dalam bahasa pasar - aku diwajibkan untuk hadir selama 14 minggu iaitu pada setiap Isnin ke Jalan Duta.

Untuk makluman korang, Pusat Bantuan Guaman ni adalah satu badan di bawah Majlis Peguam yang menyediakan perkhidmatan guaman secara percuma kepada mereka-mereka yang telah dituduh melakukan jenayah dan tidak mampu - atau ingin menjimatkan wang - untuk mendapatkan peguam.

Kesemua kes yang aku uruskan adalah bagi kesalahan yang dibicarakan di Mahkamah Majistret. Syarat untuk mendapatkan khidmat pula sungguh mudah - orang yang dituduh itu bersedia untuk mengaku salah. Jika tidak mengaku salah, maka mereka perlu melantik peguam untuk mengendalikan perbicaraan dan membuktikan ketidaksalahan mereka itu.

Daripada pemerhatian aku setelah berminggu-minggu membantu mereka-mereka yang dituduh ini, kebanyakan daripada mereka melakukan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya iaitu memiliki dadah dan memasukkan dadah ke dalam badan. Saban minggu, kes ini mencatatkan jumlah yang paling banyak. Daripada yang masih muda sehingga yang sudah berusia 60 tahun, baik lelaki ataupun perempuan, yang bujang ataupun yang sudah bercucu. Terdapat juga di kalangan mereka ini yang pernah ditangkap, dituduh dan disabitkan kesalahan sebelum ini. Bukan sekali, dua kali atau tiga kali, ada yang pernah dipenjarakan sehingga 8 kali namun hati mereka terlalu keras untuk berubah dan darah mereka sudah terlalu sebati dengan dadah.

Lalu aku berkata kepada diriku, apakah tepat tindakan aku membela mereka-mereka ini? Dengan pantas sebahagian lagi daripada diri aku menjawab, aku bukan membela mereka tetapi aku ingin memastikan sistem keadilan jenayah ditegakkan iaitu setiap orang yang dituduh mempunyai peluang untuk menjalani satu perbicaraan yang adil. Jika mereka tidak diwakili, mungkin mereka akan dibuli oleh Pendakwa dan mungkin juga akan dijatuhkan hukuman yang berat tanpa sebab mereka melakukan jenayah itu diambil kira.

Kesemua kes yang aku kendalikan adalah berkenaan dengan permintaan hukuman yang ringan. Kerana syarat untuk mendapatkan khidmat ini adalah mereka yang dituduh itu bersedia untuk mengaku bersalah. Tanpa pengakuan bersalah, hukuman tidak dapat dijatuhkan dan perbicaraan harus diadakan. Untuk menjalankan perbicaraan, peguam haruslah dilantik supaya dokumen-dokumen seperti Salinan Laporan Polis, Kenyataan tertuduh dan lain-lain laporan serta dokumen dapat diserahkan, agar satu pembelaan dapat di hujahkan di hadapan Mahkamah. Kos peguam bukan murah. Dan untuk mendapatkan khidmat peguam dari Bantuan Guaman pula bukannya senang kerana terdapat senarai yang panjang berjela-jela mereka-mereka yang ingin mendapatkan khidmat guaman secara percuma ini. Dan bukan mudah juga untuk mendapatkan peguam yang sanggup untuk mengendalikan kes-kes ini secara percuma.

Berbalik kepada tugas aku di Mahkamah, aku hanya mewakili tertuduh yang hendak mengaku salah. Jika mereka berniat untuk mengaku salah, maka aku akan menawarkan khidmat untuk rayuan pengurangan hukuman secara percuma. Ada yang menerima dan menariknya, ada yang lebih selesa untuk mengemukakan rayuan sendiri. Mereka-mereka ini terdiri daripada tertuduh yang telah biasa dituduh di Mahkamah - mungkin ada 8 rekod jenayah - dan telah tahu selok-belok mengemukakan rayuan kepada Majistret bertugas. Kadang-kadang, rayuan mereka ini lebih hebat dan mantap daripada rayuan yang dikemukakan oleh kami Pelatih-pelatih Didalam Kamar ini. Pengalaman adalah guru terbaik dalam kehidupan.

Kepada mereka yang bersetuju menerima khidmat yang aku beri, aku akan menemuramah untuk mengetahui serba sedikit tentang latar belakang kehidupan mereka. Ada yang terjebak dengan dadah kerana pengaruh rakan sebaya, ada yang mencuri kerana kesempitan hidup yang terlalu memaksa dan tidak kurang yang mencuri untuk jadi kaya.

Namun bukan tugas aku untuk menilai mereka secara peribadi. Mereka ada alasan dan sebab tersendiri untuk melakukan jenayah-jenayah tersebut. Kadang kala ramai juga di kalangan kita ini yang melakukan jenayah namun kerana kita tidak ditangkap, maka tidaklah kita dpandang hina seperti mereka. Aku juga akan bertanyakan tentang keadaan keluarga mereka - ibu dan ayah masih hidupkah, berapa bilangan adik-beradik, berapa yang masih bersekolah, siapa yang menanggung keluarga, berapa sumbangan kewangan kepada keluarga. Semua perkara ini akan diambil kira sebelum Mahkamah menjatuhkan hukuman kepada mereka-mereka ini.

Jika yang melakukan kesalahan itu merupakan anak sulung kepada ibu bapa yang tua dan cacat, adik-adik masih bersekolah, maka adalah tidak adil untuk menghukum dengan hukuman yang berat. Maka sedikit kelonggaran akan diberikan. Jika hukuman maksimum yang diberikan undang-undang ialah penjara 2 tahun, maka hanya 4 bulan akan dikenakan kepada tertuduh dan begitulah seterusnya.

Walaupun agak meletihkan namun ia memberikan aku satu kepuasan untuk membantu mereka yang benar-benar memerlukan. Dalam masa yang sama, aku dapat membiasakan diri dengan prosedur di Mahkamah dan melatih diri untuk berani bersuara di hadapan Majistret. Pengalaman yang cukup berharga dan berguna!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan