Khamis, Disember 09, 2010

Khir Toyo Didakwa Di Mahkamah

Minggu ini Tanah Malaya dikejutkan dengan berita Khir Toyo didakwa di Mahkamah. Bermacam-macam ulasan tidak rasmi yang aku dengar dan baca. Majoriti mengatakan bahawa ini hanyalah satu sandiwara yang dilakukan kerajaan bagi mengalih perhatian rakyat terhadap kenaikan harga barang dan juga salah satu cara untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap inegriti dan ketelusan kerajaan BN menjelang PRU-13.

Beberapa blog yang aku kunjungi (biarlah nama dirahsiakan untuk kebaikan bersama) mengulas dan mengupas dengan agak mendalam isu pendakwaan Khir Toyo ini. Di akhirnya, mereka menyimpulkan bahawa pihak pendakwaan yang diketuai Tan Sri Gani tidak akan berjaya membuktikan bahawa Khir Toyo mengambil RASUAH dan atas dasar itulah mereka mengatakan bahawa isu ini hanyalah sandiwra kerajaan semata-mata.

Berlaku sedikit kesilapan fakta dalam ulasan dan kupasan yang aku baca di blog-blog terbabit. Sebenarnya, KT tidaklah didakwa kerana mengambil RASUAH tetapi beliau di dakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, iaitu, "Public servant obtaining any valuable thing, without consideration, from person concerned in any proceeding or business transacted by such public servant."

Oleh itu, diharap brader-brader blogger sekalian dan tukang komen-tukang komen yang berkaitan, harap dapat perbetulkan fakta sebelum menghentam dan mengomen. Bukan apa, nanti buat malu diri sendiri je. Kan kan kan?

Rabu, Disember 02, 2009

Legal Aid duty

Setiap hari Isnin aku akan ke Kompleks Mahkamah Jalan Duta selaras dengan tugas aku untuk membantu Pusat Bantuan Guaman membantu orang ramai. Sebagai seorang Pelatih Didalam Kamar - chambering student dalam bahasa pasar - aku diwajibkan untuk hadir selama 14 minggu iaitu pada setiap Isnin ke Jalan Duta.

Untuk makluman korang, Pusat Bantuan Guaman ni adalah satu badan di bawah Majlis Peguam yang menyediakan perkhidmatan guaman secara percuma kepada mereka-mereka yang telah dituduh melakukan jenayah dan tidak mampu - atau ingin menjimatkan wang - untuk mendapatkan peguam.

Kesemua kes yang aku uruskan adalah bagi kesalahan yang dibicarakan di Mahkamah Majistret. Syarat untuk mendapatkan khidmat pula sungguh mudah - orang yang dituduh itu bersedia untuk mengaku salah. Jika tidak mengaku salah, maka mereka perlu melantik peguam untuk mengendalikan perbicaraan dan membuktikan ketidaksalahan mereka itu.

Daripada pemerhatian aku setelah berminggu-minggu membantu mereka-mereka yang dituduh ini, kebanyakan daripada mereka melakukan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya iaitu memiliki dadah dan memasukkan dadah ke dalam badan. Saban minggu, kes ini mencatatkan jumlah yang paling banyak. Daripada yang masih muda sehingga yang sudah berusia 60 tahun, baik lelaki ataupun perempuan, yang bujang ataupun yang sudah bercucu. Terdapat juga di kalangan mereka ini yang pernah ditangkap, dituduh dan disabitkan kesalahan sebelum ini. Bukan sekali, dua kali atau tiga kali, ada yang pernah dipenjarakan sehingga 8 kali namun hati mereka terlalu keras untuk berubah dan darah mereka sudah terlalu sebati dengan dadah.

Lalu aku berkata kepada diriku, apakah tepat tindakan aku membela mereka-mereka ini? Dengan pantas sebahagian lagi daripada diri aku menjawab, aku bukan membela mereka tetapi aku ingin memastikan sistem keadilan jenayah ditegakkan iaitu setiap orang yang dituduh mempunyai peluang untuk menjalani satu perbicaraan yang adil. Jika mereka tidak diwakili, mungkin mereka akan dibuli oleh Pendakwa dan mungkin juga akan dijatuhkan hukuman yang berat tanpa sebab mereka melakukan jenayah itu diambil kira.

Kesemua kes yang aku kendalikan adalah berkenaan dengan permintaan hukuman yang ringan. Kerana syarat untuk mendapatkan khidmat ini adalah mereka yang dituduh itu bersedia untuk mengaku bersalah. Tanpa pengakuan bersalah, hukuman tidak dapat dijatuhkan dan perbicaraan harus diadakan. Untuk menjalankan perbicaraan, peguam haruslah dilantik supaya dokumen-dokumen seperti Salinan Laporan Polis, Kenyataan tertuduh dan lain-lain laporan serta dokumen dapat diserahkan, agar satu pembelaan dapat di hujahkan di hadapan Mahkamah. Kos peguam bukan murah. Dan untuk mendapatkan khidmat peguam dari Bantuan Guaman pula bukannya senang kerana terdapat senarai yang panjang berjela-jela mereka-mereka yang ingin mendapatkan khidmat guaman secara percuma ini. Dan bukan mudah juga untuk mendapatkan peguam yang sanggup untuk mengendalikan kes-kes ini secara percuma.

Berbalik kepada tugas aku di Mahkamah, aku hanya mewakili tertuduh yang hendak mengaku salah. Jika mereka berniat untuk mengaku salah, maka aku akan menawarkan khidmat untuk rayuan pengurangan hukuman secara percuma. Ada yang menerima dan menariknya, ada yang lebih selesa untuk mengemukakan rayuan sendiri. Mereka-mereka ini terdiri daripada tertuduh yang telah biasa dituduh di Mahkamah - mungkin ada 8 rekod jenayah - dan telah tahu selok-belok mengemukakan rayuan kepada Majistret bertugas. Kadang-kadang, rayuan mereka ini lebih hebat dan mantap daripada rayuan yang dikemukakan oleh kami Pelatih-pelatih Didalam Kamar ini. Pengalaman adalah guru terbaik dalam kehidupan.

Kepada mereka yang bersetuju menerima khidmat yang aku beri, aku akan menemuramah untuk mengetahui serba sedikit tentang latar belakang kehidupan mereka. Ada yang terjebak dengan dadah kerana pengaruh rakan sebaya, ada yang mencuri kerana kesempitan hidup yang terlalu memaksa dan tidak kurang yang mencuri untuk jadi kaya.

Namun bukan tugas aku untuk menilai mereka secara peribadi. Mereka ada alasan dan sebab tersendiri untuk melakukan jenayah-jenayah tersebut. Kadang kala ramai juga di kalangan kita ini yang melakukan jenayah namun kerana kita tidak ditangkap, maka tidaklah kita dpandang hina seperti mereka. Aku juga akan bertanyakan tentang keadaan keluarga mereka - ibu dan ayah masih hidupkah, berapa bilangan adik-beradik, berapa yang masih bersekolah, siapa yang menanggung keluarga, berapa sumbangan kewangan kepada keluarga. Semua perkara ini akan diambil kira sebelum Mahkamah menjatuhkan hukuman kepada mereka-mereka ini.

Jika yang melakukan kesalahan itu merupakan anak sulung kepada ibu bapa yang tua dan cacat, adik-adik masih bersekolah, maka adalah tidak adil untuk menghukum dengan hukuman yang berat. Maka sedikit kelonggaran akan diberikan. Jika hukuman maksimum yang diberikan undang-undang ialah penjara 2 tahun, maka hanya 4 bulan akan dikenakan kepada tertuduh dan begitulah seterusnya.

Walaupun agak meletihkan namun ia memberikan aku satu kepuasan untuk membantu mereka yang benar-benar memerlukan. Dalam masa yang sama, aku dapat membiasakan diri dengan prosedur di Mahkamah dan melatih diri untuk berani bersuara di hadapan Majistret. Pengalaman yang cukup berharga dan berguna!

Ahad, November 29, 2009

Kenduri Kahwin

Menjelang cuti panjang persekolahan pada setiap hujung tahun, maka ramailah di kalangan rakyat Malaysia yang mengambil kesempatan untuk mengadakan kenduri kahwin. Sana sini kenduri kahwin sampai kadang-kadang tu tak terlarat nak memenuhi undangan.

Apa yang aku perhatikan, hampir kesemua kenduri kahwin yang aku penuhi undangannya menggunakan khidmat katerer dan menggunakan hidangan buffet style. Sudah hampir tiada (kat KL ni lah) tuan tanah yang menguruskan sendiri masakan dan menghidangkan makanan di atas meja. Aku teringat zaman aku kecik-kecik dulu. Kalau ada kenduri kahwin mesti meriah daripada dua atau tiga hari sebelum berlangsungnya kenduri tersebut. Sekampung datang untuk menolong mengemas dan memasak. Mengopek bawang, mengukur kelapa, memerah santan, membasuh beras, menggoreng ayam, merebus telur, merendang dan lain-lain kerja yang sewaktu dengannya. Waktu tu pulak, ramai daripada kalangan pemuda-pemuda yang rela untuk menjadi penanggah - tolong hidang lauk dan mengemas meja.

Tapi sekarang dah banyak perubahan. Semangat bergorong-royong dah semakin pupus dan sebagai jalan keluar, amik katering je senang. Perkembangan ini dah tentu memberikan rezeki kepada para katerer.

Dan hampir dalam setiap kenduri juga akan ada DJ yang berceloteh dan mendendangkan lagu-lagu untuk menjamu telinga para tetamu yang datang. Seperkara tentang DJ, ada yang okay dan ada yang K.O. Ada yang pasang lagu kuat nak mampus, sampai tetamu nak bersembang pun kena jerit. Menyakitkan hati! Bila ditegur oleh tuan tanah, diperlahankankan sedikit tapi bila dimainkan lagu yang seterusnya, dikuatkannya balik. Harus diingat, tetamu datang bukan untuk mendengar lagu-lagu yang dimainkan. Memang tujuannya untuk menghiburkan tetamu dan memeriahkan suasana tapi kalau dah sampai mengganggu, daripada nak menghibur jadi menyakitkan hati pulak.

Dan bila dah ada DJ, biasanya akan ada yang dijemput untuk membaca doa untuk pengantin sambil diaminkan oleh para tetamu. Satu perkara yang bagus yang suatu ketika dulu kurang mendapat tempat dalam jadual acara. Namun apa yang mengecewakan, setiap kenduri yang aku hadiri, doa berikut pasti dibaca:

"Ya Allah, satukanlah hati kedua mempelai ini seperti Engkau satukan hati Adam dan Hawa, seperti Yusuf dan Zulaikha dan seperti Engkau satukan hati Muhammad SAW dan Siti Khadijah."

Apabila diamati, doa ini amat tidak tepat dan tidak patut langsung dibaca untuk pengantin kerana tidak pernah disebutkan di dalam Al-Quran tentang nama perempuan yang dikahwini oleh Nabi Yusuf. Yang ada, kisah isteri pemimpin negara Mesir - yang dirujuk di dalam Al-Quran sebagai imra'at al-aziz - yang cuba untuk menggoda Nabi Yusuf dan kemudiannya apabila tertangkap, menuduh yang Nabi Yusuf cuba untuk menggodanya.

Maka adakah tepat untuk kita menyebut di dalam doa perkahwinan tentang Yusuf dan Zulaikha? Mereka tidak pernah diceritakan mengahwini satu sama lain dan yang lebih penting, siapakah Zulaikha itu. Entah dari mana asal-usul nama itu, diikuti pula oleh kita secara membuta-tuli tanpa usul periksa. Hanya kerana doa ini telah dibacakan didalam kebanyakan majlis kenduri kahwin, hanya kerana ia dicetak di hampir setiap kad jemputan, tidak bermakna perkara ini adalah benar. Jangan kita taqlid - mengikut secara membabi buta tanpa mengetahui apa yang kita doakan itu.

Aku tidak berilmu sangat untuk berbicara lanjut tentang hal ini dan setelah membuat sedikit kajian, aku dapati artikel berikut cukup kuat untuk dijadikan sandaran bagi kita menolak doa Yusuf dan Zulaikha. Sama-samalah kita hayati dan amalkan. Semoga kita dapat membetulkan kesilapan ini.

Kekalutan Doa Pengantin Yusuf Dan Zulaikha

Rabu, November 25, 2009

Bukak Pintu Kapal Terbang

Sedang aku menyelak NST Online, aku terbaca satu berita yang agak kelakar. Seorang Sami yang berasal daripada Myanmar dengan selamba dan tanpa segan silu telah membuka pintu kecemasan sebuah kapal terbang kerana beliau inginkan udara yang segar. Kejadian tersebut yang berlaku di India telah menyebabkan penerbangan tersebut tertangguh selama 7 jam.

Nasib baik sami tu buka pintu kapal terbang tu masa nak take off. Kalaulah dia bukak masa kapal terbang tu tengah terbang nun jauh di Awan Dania, korang bayangkanlah sendiri apa yang akan terjadi.

Kesimpulannya, berhati-hati bila korang naik flight skali dengan sami!

Dipetik daripada NST Online

Isnin, November 23, 2009

Hidup Yang Berpura-Pura

Sepanjang pengalaman aku bekerja, sememangnya tidap dapat dinafikan akan wujud orang-orang yang digelar pengampu bos, talam berbelas-belas muka, kaki repot, batu api, dll. Rasa kelakar pun ada, rasa marah pun ada dan yang paling banyak rasa bengang.

Aku pernah bekerja di empat syarikat yang berbeza bidang industri namun perangai manusia-manusia di situ tetap dapat dikategorikan kepada kumpulan-kumpulan di atas. Lalu aku terfikir : adakah itu perangai semulajadi mereka ataupun manusia ini secara automatik akan develop that habits sebagai satu cara untuk survival. Yang peliknya, tidak semua orang berperangai begitu.

Aku lebih senang dengan cara aku sendiri. Kalau tak suka, tunjukkan yang aku tak suka. Kalau marah, orang tengok muka aku sekilas pun dah tau yang aku tengah marah atau bengang. Aku tumpukan semata-mata kepada kerja yang ada di depan mata. Jika ketika bos lalu melintasi tempat aku dan ketika itu aku sedang bersembang atau buat perkara yang selain kerja, aku takkan bertungkus lumus mencapai apa saja yang akan membuatkan kelihatannya aku sedang membuat kerja, untuk semata-mata nak menunjukkan kepada bos yang aku ni rajin.

Bukan besar kepala atau nak tunjuk lagak, cuma aku rasa tak perlulah kita berpura-pura. Berpura-pura rajin di depan bos, berpura-pura baik di depan rakan sepejabat. Sedangkan di belakang mereka macam-macam tohmahan dan cerita buruk yang dilemparkan.

Aku pun pelik. Kalau dah tak suka tu, pergilah cakap depan-depan dan berterus-terang. Ini tidak. Habis dicarinya orang satu pejabat untuk menjaja dan memburukkan orang lain. Itupun entah betul entah tidak. Kadang-kadang main serkap jarang je - hanya berdasarkan intuisi dan gerak hati yang sentiasa berlandaskan kepada hati yang dengki dan syak wasangka yang tebal.

Daripada pengalaman aku, pada akhirnya setelah sekian lama, orang akan tahu juga perangai mereka-mereka ini yang sebenar. Orang akan dapat menilai sendiri karektor dan peribadi mereka-mereka ini. Dan sepanjang pengetahuan aku, orang begini tidak langsung dipandang dengan rasa hormat atau segan. Hanya rasa meluat dan jijk dengan mulut mereka yang berbau longkang dan pisau yang sentiasa terhunus, siap untuk menikam sesiapa saja dari belakang. Apa yang mereka nampak hanyalah kelemahan dan kesalahan orang lain yang dijaja dengan rasa bangga. Sedangkan kesalahan sendiri ditutup secantik-cantiknya.

Biarkanlah mereka ini berseronok dengan dunia mereka sendiri. Dunia dimana mereka itu adalah 'Tuhan", tidak pernah silap atau salah dan tidak pernah pula melakukan sebarang kekhilafan.

Selasa, November 17, 2009

Penjara Sungai Buloh

Pagi tadi aku telah berpeluang untuk melawat Penjara Sungai Buloh bersama-sama dengan bos aku. Ini adalah kali ke3 aku ke sana. Kali pertama bersama dengan KL Legal Aid Center. Kali kedua aku datang dengan seorang lawyer di pejabat untuk menemubual tertuduh yang kami wakili.

Apa yang menarik, setiap tertuduh yang aku jumpa mempunyai cara yang tersendiri untuk menyampaikan cerita mereka. Ada yang mencipta kisah sedih untuk mendapatkan simpati peguam yang dirasakannya mampu tertipu dengan cerita rekaan yang setaraf dengan cerita pendek arahan pengarah amatur yang masih menuntut di Universiti/Kolej. Terlalu banyak lubang, lohong dan kekosongan dalam plot cerita mereka yang terlalu jelas untuk dipersoalkan. Dan apabila ditekan sedikit, terkeluarlah cerita sebenarnya. Aku banyak belajar dengan bos aku teknik untuk mengorek cerita disebalik cerita.

Bila ditanya, tidak ada apa-apa kesalahan yang dibuat. "Saya tak tau pun bang kenapa polis tangkap saya. Dorang datang pejabat, terus tangkap saya bawak ke balai". Halo saudara, siapa awak tu sampai polis beriya-iya nak tangkap tanpa sebab?

Apa yang menarik, bila bos aku jumpa dengan tertuduh ni, terkeluarlah cerita yang membawa kepada penangkapan saudara kita ni. Harus diakui, kebanyakan tertuduh mencipta pelbagai cerita yang penuh dengan adegan yang suspen dan menarik. Namun sorang lawyer tau dengan jelas bahawa polis tidak akan sesuka hati menahan dan mendakwa sesorang. Apatah lagi kertas siasatan akan disemak terlebih dahulu oleh Timbalan Pendakwaraya sebelum dikemukakan ke Mahkamah. Jika tiada bukti atau bukti tidak cukup kuat untuk mensabitkan tertuduh, maka sudah tentu dia akan dibebaskan kerana polis dan Timbalan Pendakwaraya tidak mahu menanggung malu diperli dengan sinis oleh Hakim kerana mendakwa tertuduh tanpa bukti yang kukuh.

Kali ketiga aku ke Penjara pagi tadi, bertemu lagi dengan seorang banduan yang boleh tahan bijaksana. Namun sepandai-pandai tupai melompat, kena sumpit juga oleh Tok Batin yang hebat.

Secara peribadi, aku merasakan bahawa bidang jenayah adalah salah satu cabang undang-undang yang menarik untuk aku berada di dalamnya. Dari segi moral, mungkin ramai yang berpandangan serong mengatakan bahawa seorang peguam hanya mementingkan duit tanpa mengira sama ada mereka membela orang yang salah atau tidak. Sebetulnya, tiada siapa yang tahu sama ada tertuduh itu bersalah atau tidak. Tugas seorang peguam adalah untuk memastikan bahawa keadilan ditegakkan dan sistem keadilan jenayah di negara ini dilaksanakan sebagaima yang sewajarnya. Jika benar tertuduh bersalah, maka dia akan tetap dihukum. Peguam tidak mempunyai kuasa untuk membetulkan perkara yang salah atau membuat perkara yang betul kelihatan seperti salah. Apa yang penting adalah tertuduh mendapat pembelaan yang sewajarnya dan haknya untuk diwakili dan didengar oleh Hakim dapat dilaksanakan.

Kesimpulannya, melainkan anda berada di tempat tertuduh, maka anda akan sentiasa beranggapan bahawa orang yang ditangkap polis itu adalah penjenayah yang melakukan jenayah tersebut dan apabila dia dibebaskan oleh Mahkamah, anda akan menganggap peguam tertuduh tersebut berjaya memutar-belitkan fakta sehingga menyebabkan tertuduh tersebut terlepas.

Khamis, November 12, 2009

Syair Yang Syahdu

Rasanya, sepanjang aku bernafas diatas muka bumi ini, tidak pernah barang sekalipun aku mendengar atau menyukai syair. Namun pertama kali aku mendengar puisi yang satu ni, hati aku terus tersentuh. Apatah lagi setelah digubah dengan kreatif dan dijadikan nasyid yang amat menyentuh perasaan.

Lantas aku berusaha mencari lirik dan seterusnya mp3 untuk di download. Sedang aku mencari-cari, aku terjumpa dengan laman web yang menerangkan tentang asal-usul syair ini. Ia sebenarnya dikarang oleh Imam Shafie disaat beliau sudah tua dan menunggu hari untuk menghembuskan nafas yang terakhir. No wonder susunan ayat dan perkataanya begitu merendah diri dan sangat...(tak tau macam mana describe).Lu pikirlah sendiri!

إلـيــك إلـــه الـخـلـق أرفــــع رغـبـتــي
kupersembahkan kepadaMu tuhan sekelian makhluk harapanku

وإن كـنـتُ يــا ذا الـمــن والـجــود مـجـرمـا
sekalipun aku seorang yang berdosa wahai yang Maha pemberi dan pemurah

ولـمــا قـســا قـلـبـي وضـاقــت مـذاهـبــي
tatkala keras hatiku dan sesak perjalanan hidupku

جـعـلـت الـرجــا مـنــي لـعـفـوك سـلـمــا
kujadikan rayuan daripadaku sebagai jalan mengharap keampunanMu

فـمـا زلــتَ ذا عـفـو عــن الـذنـب لــم تـزل
maka bilamana Engkau yang memiliki keampunan menghapuskan dosa yang berterusan ini

تــجــود و تـعــفــو مــنـــة وتـكــرمــا
kurniaanMu dan keampunanMu adalah rahmat dan kemuliaan

ألــســت الــــذي غـذيـتـنـي وهـديـتـنــي
bukankah Engkau yang memberi aku makan dan hidayah kepadaku

ولا زلــــت مـنـانــا عــلـــيّ ومـنـعـمــا
dan jangalah Engkau hapuskan kurniaan anugerah dan ni'mat itu kepadaku

عـسـى مــن لــه الإحـســان يـغـفـر زلـتــي
semoga orang yang memiliki ihsan mengampunkan kesalahanku

ويـسـتــر أوزاري ومــــا قــــد تـقــدمــا
dan menutup dosa2ku dan setiap perkara yang telah lalu

فــإن تـعـف عـنــي تـعــف عـــن مـتـمـرد
sekiranya Engkau ampunkan aku, ampunkan dari kederhakaan

ظــلــوم غــشــوم لا يــزايـــل مـأتــمــا
kezaliman, penganiayaan yang tak akan terhapus di hari berhimpun kesedihan

و إن تنـتـقـم مــنــي فـلـســت بــآيــس
dan jika Engkau membalas siksa terhadapku, aku tidak akan berputus asa

ولـــو أدخـلــوا نـفـسـي بـجــرم جـهـنـمـا
sekalipun dosa2ku itu memasukkan diriku ke dalam neraka

فصيـحـا إذا مــا كــان فـــي ذكـــر ربـــه
dia adalah seorang yang fasih ketika menyebut/mengingati tuhannya

وفيما سواه في الورى كان أعجما
dan bilamana dia bersama selain tuhannya di dunia ini dia membisu

يـقــول: حبـيـبـي أنـــت سـؤلــي وبغـيـتـي
dia berkata: Kekasihku, Engkaulah tempatku meminta dan berharap

كـفــى بـــك للـراجـيـن ســـؤلا ومـغـنـمـا
cukuplah Engkau bagi yang berharap sebagai tempat bergantung dan memohon

أصـــــون ودادي أن يـدنــســه الـــهـــوى
kupelihara kasihku yang dicemari nafsu

وأحــفــظ عــهــد الــحـــب أن يـتـثـلـمـا
dan aku jaga janji kasih yang telah tercalar

فـفـي يقظـتـي شــوق وفــي غـفـوتـي مـنــى
di saat kujaga, aku rindu, dan di saat kulelap aku berharap

تــلاحــق خــطــوي نــشــوة وتـرنــمــا
mengiringi langkahku dengan penuh semangat dan berulang2

فـجـرمـي عـظـيـم مـــن قـديــم وحــــادث
maka dosaku adalah besar dari dulu dan kini

وعـفــوك يـأتــي الـعـبـد أعـلــى وأجـسـمـا
sedang keampunanmu yang mendatangi hamba adalah lebih agung dan lebih mulia


Elaika - Mohammed Obaid